Friday, April 29, 2011

Ombak dan Rumah...

"Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai"


Pernah dengar ungkapan di atas? Pernahkah pula mendengar ungkapan tersebut dalam versi pasif? Iaitu dengan menukar subjek dan predikatnya. Macam mana bunyinya ya?

"Kalau berumah di tepi pantai, jangan takut dilambung ombak"

Kalau sekali imbas pada gambar, seakan-akan saya ingin bercerita tentang Tsunami di Jepun. Namun sayang, tidak sama sekali. Tapi, mungkin ada kena-mengena.

Agak-agak pernah dengar? Ya, inilah ungkapan yang selalu sahabat-sahabat saya sebut satu ketika dahulu. Mereka tersasul? Tidak.... Mereka berjenaka? Tidak.... Tapi memang ada maksud, maksud yang lebih mendalam daripada ungkapan sebenar.

Kalau kita fikir-fikirkan, kenapa bandar Venice tidak dipindahkan ke tempat yang paras airnya lebih rendah? Kenapa Jepun, Singapura bahkan Johor Bahru membina bandarnya di tepi-tepi pantai? Adakah mereka tak takut ombak?

Apa maksud kepada ungkapan sebenar? Berdasarkan ilmu cetek saya, ianya bermaksud jangan ambil risiko. Kalau ada yang lebih baik, pilih yang itu. Persoalannya, tiada pilihan lainkah untuk Johor membina ibu negerinya selain menambak Selat Tebrau dan Selat Melaka?

Kita tinggalkan persoalan itu seketika. Persoalan seterusnya, kalau sudah berada di hadapan risiko, apa pendirian kita? 

Kadang-kadang hidup bukan berkaitan dengan pilihan semata-mata. Ada perkara-perkara yang kita tak boleh memilih sangat. Justeru, risiko dan masalah pasti akan melanda hidup kita, percayalah, ianya PASTI. Cuma bagaimana kita menghadapi dan menanganinya.

Dan inilah yang dimaksudkan dengan ungkapan di atas dalam versi pasif. Kalau telah berhadapan dengan risiko dan masalah, jangan takut, lawan.... (seperti kata Raja kepada Nujum Pak Belalang ketika bertarung teka-teki dengan Baginda Masai)...

Khas saya tujukan kepada mereka yang berintima' dengan perjuangan Islam, yang berbai'ah dengan jemaah. Cabaran, halangan, cubaan, dugaan pasti dan pasti akan menimpa kalian. Kekadang dalam bentuk kesusahan, kepayahan, kekalahan, kepenatan, kekesalan, kebencian... dan kadang kala dalam bentuk kesenangan, kemewahan, kehormatan, kebahagiaan, keindahan...... Dan tatkala cubaan-cubaan ini hadir, bangkit dan sedarlah anda sedang diuji-Nya. Kuat, tabah dan terus lawan. InsyaAllah, Allah bersama kalian.

Sedarlah, kalian memang sudah pun memilih berumah di tepi pantai. Justeru, jangan takut dilambung ombak! Kerana ombak itulah yang akan menghanyutkan kalian ke syurga, InsyaAllah......


Eman Iman

No comments:

Post a Comment