Friday, November 26, 2010

Me_l_u_a_s_kan Pemikiran Yang sempit, MemBESARkan Jiwa Yang kecil

Kesempatan kembali ke taman tarbiyah diri saya gunakan sepenuhnya. Alhamdulillah, terasa amat bertuah, adik-adik ini masih rindu dan sayang pada saya, walaupun pelbagai onar dan kecaman telah saya lontarkan ke dalam yahoogroup mereka. Entahlah, bila anda semua sudah jadi abang, anda semua akan rasa apa yang saya rasa....
Kadang-kadang tergelak dengan karenah adik-adik. Perbahasan yang kurang matang, perbincangan yang tidak masak, emosi tanpa resolusi, takut untuk bersuara, suara yang lemah gemalai, berpendakatan tunggu dan lihat, haii.. macam2 gelagat. Lebih jenaka lagi, ada yang takut bersuara, takut dikatakan beremosi. Dan ada juga yang bila sahabat-sahabatnya seorang demi seorang melontarkan pandangan tak putus-putus, dia tiba-tiba bangun dan berkata "bertenang semua, bertenang semua".... Teringat ungkapan Nelson Mandela yang diulas oleh Ustaz Hasrizal Saifulislam "When the water starts boiling it is foolish to turn off the heat"


Apa pun ini semua sebenarnya suatu latihan, latihan untuk meluaskan pemikiran, membesarkan jiwa. Maka rugilah mereka yang tak terlibat. Apa yang ruginya, rugi tak jumpa alumni. Kerana apa, kerana alumni memang best! Haha, teringat slot tazkirah yang saya isi dengan sesi Mesra Bersama Alumni dengan tema 'Alumni yang BEST!'...


Baru-baru ini pula ada beberapa orang menerjah ruang chat saya. Pertanyaan demi pertanyaan diajukan. Saya dah remind awal-awal, saya jawab yang mana mampu sahaja. 


Soalan pertama, bertanya tentang apa hukum mencuri? Saya jawab haram, berdosa.


Soalan kedua, bertanya tentang hukum menceroboh emel atau facebook orang lain? Saya jawab sama seperti di atas, haram, berdosa. Menceroboh bererti mengambil haknya, sama seperti mencuri.


Soalan seterusnya bertanyakan tentang boleh atau tidak untuk menipu terutama dalam sesebuah gerakarja menghadapi seteru. Saya menjawab, hukum asal kepada menipu pastilah haram, berdosa, menafikan hak orang lain untuk tahu terutama yang bertanya, samalah seperti mencuri sesuatu yang merupakan haknya.


Terlalu banyak dalil untuk mengungkapkan pengharaman dusta, Saya memetik daripada forum di iLuvislam


“Maka siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang membuat-buat dusta terhadap Allah untuk menyesatkan manusia tanpa pengetahuan. Sesungguh nya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim”. (QS. 6:144)


“Barangsiapa yang sengaja berdusta atas namaku maka hendaklah ia menyiapkan bangkunya di neraka”. (Muttafaq ‘alaih)


“Jauhkan lah oleh kalian perbuatan dusta, maka sesungguhnya dusta itu menunjukkan/mengantarkan ke jalan kemaksiatan dan sesungguhnya kemaksiatan itu menyeret ke dalam neraka.” (Muttafaq’alaih)


Malah dusta juga merupakan sebahagian daripada ciri-ciri orang-orang munafiq. Hal ini juga dijelaskan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, “Ciri-ciri orang munafiq ada tiga: apabila berbicara dia dusta, dan apabila berjanji dia mengingkari, dan apabila dipercaya dia berkhianat”. (Muttafaq ‘alaih).


Walaubagaimanapun, ada tiga tempat boleh berdusta. Imam Muslim meriwayatkan, berkata Ummu Kultsum radhiyallahu ‘anha, “Aku tidak pernah mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memberikan keringanan (rukhshah) pada apa yang diucapkan oleh manusia (berdusta) kecuali dalam tiga perkara, yakni: perang, mendamaikan perseteruan/perselisihan di antara manusia, dan ucapan suami kepada istrinya, atau sebaliknya”.


Tentunya ada syarat-syarat tertentu sehingga dusta menjadi dibolehkan bahkan dianjurkan. Intinya adalah bahwa, “Perkataan atau suatu ucapan merupakan cara untuk mencapai maksud yang diinginkan.” Maka setiap maksud yang terpuji memungkinkan/dapat diraih atau dicapai dengan tanpa berdusta/berbohong, maka berdusta pada saat itu hukumnya haram. Tetapi jika tidak memungkinkan untuk mencapai tujuan yang diinginkan kecuali hanya dengan berdusta, maka dusta pada kondisi seperti ini dibolehkan”.(lihat di kitab al-Adzkar, al-Imam an-Nawawi).


Namun begitu, sekiranya ada ruang untuk tidak berdusta, pilihlah ruang tersebut. Pilihan untuk tidak berdusta pastilah dengan menggunakan 'helah'. Bagaimana cara berhelah? Mungkin cerita Siti Sarah dan Nabi Ibrahim ini boleh menjelaskan.


Siti Sarah merupakan seorang isteri yang taat dan solehah. Suatu ketika, Raja Mesir pada ketika itu Imlieq atau Hescus seorang raja yang suka terhadap ‘isteri’ orang. Raja mendengar cerita bahawa Nabi Ibrahim a.s mempunyai seorang isteri yang sangat cantik, lalu memerintahkan Nabi Ibrahim a.s dan isterinya mengadap. Nabi Ibrahim a.s telah berhelah bahawa Siti Sarah ialah saudaranya. Jika tidak Nabi Ibrahim a.s akan dibunuh dan isterinya Siti Sarah akan dirampas. Lihat, bagaimana helah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim, nabi tidak melakukan pembohongan kerana isteri juga termasuk sebagai saudara-mara. Nah, pendustaan telah dapat dielakkan.


Helah pula berbeza dengan tauriyah. Tauriyah adalah keinginan seseorang dengan ucapannya yang berbeza dengan zahir ucapannya. Hukumnya boleh dengan dua syarat iaitu perkataan atau ayat yang dilafazkan tersebut memberi kemungkinan makna yang dimaksudkan. Syarat kedua adalah bukan untuk perbuatan zalim. Mungkin kisah di bawah boleh menerangkan.


Seseorang berkata, “Demi Allah, saya tidak tidur kecuali di bawah atap.” Kemudian dia tidur di atas atap rumah, lalu berkata, “Atap yang saya maksudkan adalah langit". Maka ini juga benar. Langit dinamakan atap dalam firman-Nya,

“Dan kami jadikan langit itu sebagai atap yang terpelihara,” (Al-Anbiya’: 32)

Saya kira terjawab persoalan boleh atau tidak untuk berdusta. Si adik terus bertanya. Kali ini pertanyaannya lebih ganas, lebih kurang berbunyi begini,


"Berdosakah apabila mengoyakkan banner-banner program-program tertentu?"


Saya tidak dapat menjawab, tetapi sebaliknya tergelak. Kelakar. Teringat zaman saya di kampus dahulu. Hahaha, tak boleh tahan, nak terus ketawa.. Tapi si adik tiba-tiba naik berang lalu membalas...


"Jawapan yang saya nak???" huish, sampai tiga tanda soal...


Maaflah. Apa yang dapat saya simpulkan, si penanya dan mereka-mereka yang turut berkeinginan bertanya sedemikian berada dalam lingkungan pemikiran yang sempit, jiwa yang kecil. Mungkin bukan salah mereka, tetapi situasi, keadaan semasa, pengaruh sekeliling, tauladan dari penguasa, semua ini dan banyak lagi faktor penyebab kecilnya jiwa.


Kalau sesebuah perlakuan dinilaikan dari segi perlakuan itu sahaja, memang mudah. Sepertimana para ulamak menafsirkan ayat Al-Quran, kalau hanya dengan pengetahuan bahasa Arab, tersangatlah mudah dan caca marbalah jadinya. Walaubagaimanapun penafsiran Al-Quran perlu melihat banyak sudut, selain sudut bahasa seperti gaya bahasa, sebelum, semasa atau sesudah, sudut asbabunnuzul atau sebab-sebab turunnya ayat juga perlu diambil kira, ketika dan keadaan turunnya ayat, orang-orang yang terlibat dan sebagainya.


Begitu juga dengan penafsiran permasalahan di atas. Perlu kita lihat kenapa perlunya tindakan tersebut? Program apa yang terlibat? Apa objektif program? Siapa orang-orang yang terlibat? Apa agenda orang-orang terlibat? Apa kesan tindakan? Apa kesan jika tindakan tidak dilaksanakan? Apa kesan jangkamasa panjang?


Kepada si penanya, saya ingin bertanya, seandainya kita perlu memilih untuk mengundi DAP atau MCA sedangkan hanya itu pilihan yang ada di DUN kita mengundi, manakah yang akan saudara pilih? Memilih orang bukan Islam ternyata berdosa dan Allah gazzetekan dalam Al-Quran. Tidak memilih juga berdosa kerana memilih pemimpin itu hukumnya wajib bagi penduduk setempat.


Di sini juga kita perlu luaskan pemikiran, kaji siapa calon-calon tersebut, bertanding atas tiket apa, siapa yang bekerja sama dengannya, yang mana yang akan lebih membawa mudarat? Saya tidak akan menjawab soalan ini, sekadar melontarkan buah fikiran untuk kita fikirkan bersama...


Dalam membuat pilihan, kajian itu penting. Melainkan ianya sudah ternaktub sebagai 'Qa'ie', berstatus wajib seperti solat 5 waktu, tidak perlu lagi kepada perbahasan. Kaedah fiqh juga ada memberi penyelesaian untuk permasalahan sebegini. Dalam usul fiqh, mudarat tidak boleh diatasi dengan kaedah yang juga boleh membawa mudarat. Walaubagaimanapun, sekiranya terbentang dua pilihan mudarat yang wajib dipilih salah satunya, pilihlah yang paling sedikit mudaratnya.


Seorang adik ni menyanggah ungkapan "think out of the box". Katanya "Don't think in the box or out of the box, but think all over"..... hish, semangatnya dia nak membesarjkan jiwa. Apa yang dia faham dengan ungkapannya itu, wallahualam. Jangan jadi burung kakak tua sudahlah....


Apa pun ingat, pemikiran manusia pasti terbatas.... Tapi tidak salah untuk keluar daripada kelompok atau zon selesa berfikir.


Ayuh, luaskan pemikiran, besarkan jiwa.....




http://www.iluvislam.com/v1/forum/viewthread.php?forum_id=49&thread_id=1869&pid=66863http://halaqah.net/v10/index.php?topic=13300.0
http://fitrahfitri.wordpress.com/2009/04/16/tahukah-engkau-apa-itu-tauriyah/
http://saifulislam.com/?p=6951


E-man I-man

Monday, November 15, 2010

Di..... adalah pembelajaran untuk Me.........

Seorang kakak senior pernah berkata kepada saya,

"something moving in your mind"

Entahlah... kadang-kadang saya merasakan yang saya tidak pernah tidur, kerana minda saya terus berjalan, menerawang, memikirkan yang bukan-bukan.....

Dan kali ini saya terfikir tentang imbuhan Di dan Me..... saya mungkin tidak layak untuk menjadi seolah-olah pakar bahasa membicarakan tentang hukum tatabahasa, dan saya juga sebenarnya bukan ingin mengulas penggunaan Di dan Me dalam konteks bahasa. Jauh sekali untuk mempertikaikan keunikan dan keindahan Bahasa Melayu yang kini ada pihak cuba menjatuh dan merendahkan martabatnya... maaf sekali lagi, bukan ini topik perbicangan saya, kita bincang ini di lain kali...

Pernah tak anda alami ditengking? dimarah? diherdik? dimaki? dicaci? diperli? di'brainwash'? disakiti? dimalukan? Apa yang anda rasa?

Bagaimana pula dengan dipuji? disayangi? dihormati? dicintai? dibelai? dimanja? dikasihi? Anda pasti pernah merasai ini semua bukan? Dan apa pula yang anda rasa? Apa yang anda pelajari?

Seorang anak yang semenjak kecil asyik ditengking oleh ibunya, berpotensi besar untuk menjadi 'penegking' yang hebat bila dewasa kelak. Lihat sahaja kepada kes-kes penderaan kanak-kanak, biasanya suspek mempunyai sejarah hitam yang melibatkan si suspek pernah didera sedemikian rupa.

Pernah dengar "kalau mahu dihormati, maka perlu menghormati"? Apa yang berlaku sebenarnya, apabila seseorang itu dihormati, maka di situ dia melihat dan belajar bagaimana untuk menghormati. Lalu akhirnya mengikuti apa yang telah dilakukan kepadanya.

Orang kata, 'pengalaman adalah guru yang terbaik'. Justeru, hubungan Di.... dengan Me..... adalah hubungan pengalaman. Pengalaman dipukul mengajar seseorang untuk memukul. Di sekolah berasrama contohnya, pelajar-pelajar junior biasanya sering dibuli. Apa yang berlaku setelah si junior ini melangkah dewasa? Dia pula akan menjadi kaki buli. Mungkin sahaja dia tidak mampu untuk membuli orang yang pernah membulinya, tetapi dendam untuk membuli terbayar dengan membuli juniornya pula..

Pernahkah terfikir, bagaimana seorang ibu yang mahukan anaknya menjadi anak yang baik, hormat ibu bapa sedangkan apa yang dilihat dan dipelajari oleh ibunya hanyalah bagaimana untuk menengking, mengherdik, memukul, memaki-hamun.... Pimpinan melalui tauladan. Bapa borek, anak rintik. Atau boleh juga ibu borek, anak lagilah rintik....

Dipukul adalah pembelajaran untuk Memukul
Didera adalah pembelajarn untuk Mendera
Dibuli adalah pembelajaran untuk Membuli
Dihormati adalah pembelajaran untuk Menghormati

Saya merasa bertambah yakin bahawa Di... adalah pembelajaran untuk Me.....

Cuma satu Di..... yang saya kira bukan pembelajaran untuk Me.....

Ditinggal pastinya bukan pembelajaran untuk Meninggal....

mana meninggal perlu belajar....



E-man I-man

Friday, November 5, 2010

Tangan Syaitan?

Menjenguk ke laman sosial facebook yang kian menjadi trend masa kini, terlihat paparan di status seorang sahabat,




"Tadi saya pergi mengisi minyak petrol RON 97, apabila menghulurkan wang untuk dibayar saya nampak seolah2 "tangan syaitan" telah mengambil duit saya dengan rakusnya...hahaha"


Terhilai gelak ketawa di pagi hari. Meneruskan lagi pembacaan komen-komen di bawahnya.

"oh ya.. tertinggal.. menurut kasyaf saya, tangan tersebut seolah2 nak menerkam dengan rakusnya.."
"pergi kat TOL pun ada jugak "tangan syaitan" dok hulur...hahaha"
"saya pun sama nampak "tangan syaitan" masa nak byr brg kat GIANT..."

Tambah kuat hilaian gelak ketawa saya. Terkekeh dibuatnya....

Apa isu sebenarnya ini? Kenapa soal 'kasyaf' menjadi bahan gurauan?

Tidak lain dan tidak bukan pastilah isu bekas calon BN, Mohd Nor Idris yang dipetik sebagai berkata 

"Apabila dia hulur tangan itu, solah-olah saya nampak tangan itu tangan syaitan... dengan kasyaf saya, tangan dia itu macam tangan syaitan yang dihulurkan kepada saya. Jadi saya tidak sambut tangan dia, saya tidak mahu jamah (pegang) tangan syaitan". (Malaysiakini)

Laporan yang tersiar dalam media alternatif Malaysiakini itu mendapat liputan meluas, cuma tiada di media arus perdana. Ianya merujuk kenyataan bekas calon BN itu mengenai Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat:

Dalam mengulas isu ini, saya sungguh tertarik dengan komentar Dr.MAZA. Dengan penuh tertib ilmiah, Dr. MAZA mengulas dan merungkaikannya satu persatu. Antara yang dibangkitkan adalah isu bagaimana ilmu kasyaf boleh diangkat sebagai hujjah. Jika hal itu dibolehkan, tentu baginda Nabi SAW terlebih dahulu melakukannya. Sebaliknya, penilaian atau hukuman tetap berteraskan bukti dan hujah. 

Persoalannya, bagaimana dengan mudah beliau boleh menggunakan ilmu kasyaf terutama dalam hal-hal politik. Terlebih lagi digunakan untuk mengaibkan pihak parti lawan. Dan lebih biadap lagi orang yang dikatakan memiliki tangan syaitan itu seorang ulamak tersohor. Benarkah 'ustaz' ini memiliki ilmu kasyaf?

Terdetik juga di hati saya, "wah, dia tahu rupa tangan syaitan, dia ni ada hubungan ke dengan syaitan?"

Berbicara tentang kasyaf, saya bukanlah pakarnya. Namun apa yang saya tahu ianya terkandung dalam perbasan usul 20 Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna.

Menurut Asy-Syahid, sebahagian dari kesan iman yang benar dan ibadat yang sah ialah Allah akan mencampakkan ilham dan lintasan-lintasan ke dalam hati mukmin, Ilham dan lintasan hati yang menyuluh jalan mukmin; menolongnya dalam mencari kebenaran dan menyelesaikan kemusykilan. Kassyaf juga adalah sebahagian kesan dari iman yang benar. Kassyaf yang dimaksudkan di sini ialah: Allah membukakan tabir yang melindungi sebahagian dari perkara-perkara yang tersembunyi dan perkara-perkara yang tidak tersembunyi dan perkara-perkara ghaib. Termasuk juga dalam pengertian kassyaf ialah mengetahui bisikan hati, niat dan kelemahan setengah manusia.

Al-Imam Asy-Syahid menerangkan bahwasanya ilham, lintasan hati, kasyaf dan mimpi merupakan perkara-perkara yang thabit yang tidak boleh ditolak secara
keseluruhannya. Meskipun demikian, ianya bukanlah tergolong dari dalil-dalil hukum yang tersendiri kerana di sana berlaku kesangsian dan sangkaan-sangkaan banyak bercampur dengannya. Oleh itu, ianya tidak boleh dipegang.

Sekiranya dikatakan: Apa faedah kewujudannya? Dijawab: Diterima, sekiranya tidak bertentangan dengan Al-Qur'an dan As-sunnah dan menguatkan kesahihan yang merupakan cahaya di atas cahaya. Hakikat ini telah dinyatakan oleh Al-Imam Asy-syahid yang mana ianya bertepatan dengan Al-Qur'an dan sunnah Rasul-Nya serta ditegaskan oleh ulamak.

Di antara peristiwa-peristiwa thabit dan masyhur:

Dari Umar r.a, bahawasanya seorang lelaki datang kepadanya lalu Saidina 'Uthman berkata: "Salah seorang daripada kamu datang kepadaku sedangkan tanda-tanda perzinaan berada di matanya" (zina mata). Lelaki itu bertanya: "Apakah wahyu masih datang selepas kewafatan Rasulullah?" Saidina 'Uthman menjawab: "Tidak, tetapi ia merupakan firasat yang benar". 
(At-Turuq al-Hukmiyyah: 41)

Kisah Umar yang berkhutbah di atas mimbar dan memutuskan khutbahnya lalu berkata; "Wahai sariyyah (sepasukan tentera) ke bukit, ke bukit." 
(Sirah dan Manaqib Umar: 172, 173.)

Meskipun ulamak mengesahkan adanya kasyaf dan mimpi, mereka telah menetapkan kemestian merujuk segala perkara yang berkaitan dengannya kepada Al-Qur'an dan Assunnah kerana kedua-duanya terpelihara. Kasyaf, mimpi dan sebagainya merupakan perkara-perkara zanni (sangkaan) yang belum lagi terjamin ketepatannya.

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah pernah berkata:
"Kebanyakan dari sangkaan seseorang bahawa beliau telah mendapat kasyaf merupakan sangkaan semata-mata. Sesungguhnya prasangka itu tidak sedikitpun berguna untuk mencapai kebenaran. Ahli kasyaf kadang-kadang benar dan kadang-kadang salah. Oleh itu wajib bagi mereka berpegang dengan KitabulLah dan Sunnah RasulNya. Serta mengimbangi pandangan, pendapat dan buah fikiran mereka bersandarkan Al-Qur'an dan Sunnah. Sekiranya seseorang itu membawa sesuatu perkara dari Allah dan perkara itu tidak perlu dipadukan dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah bermakna seseorang itu tidak perlu pada Rasul dalam sesetengah urusan agamanya. Ini merupakan pendapat orang-orang yang sesat." 
(Al Fatawa: 11/65, 66.)

Justeru, kasyafkah ustaz? Wallahualam...

Apa yang pasti, isu ini akan terus menjadi permainan dan bahan sindiran.

"Eh, ada tanganlah....
Ooops, tangan siapa tu? Tangan syaitan kah?"



E-man I-man