Friday, December 31, 2010

"Adakah saya salah kerana saya seorang ahli politik DAP?"

Petang ini merupakan petang terakhir di tahun 2010. Tenang. Sedar tak sedar, lagi sepuluh tahun negara akan melangkah ke tahun 2020, suatu wawasan negara maju yang dibina di zaman Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.


Saya sedang leka membaca halaman media alternatif elektronik. Paling saya gemar adalah malaysiakini.com yang saya kira antara media alternatif yang telus. Seronok dan berbangga membacaya kejayaan skuad Harimau Malaya memenangi Piala AFF Suzuki. Tiba-tiba, "hah, timbul lagi isu ini" hati saya berkata perlahan. 


Pakaian beginikah dikatakan tidak sopan bagi seorang non-muslim?
Atau tudung selempang 'merah'kah yang paling sopan?
Teoh Nie Ching, pada saya tidak perlu diperkenalkan lagi. Pernah menggemparkan seluruh Malaysia pada Ramadhan yang lepas dengan kes masuk ke ruang hadapan surau dalam keadaan tidak sopan serta memberi 'tazkirah'. Tak dapat tertahan, saya tergelak kecil. Begitu dangkalnya pemikiran penulis berita yang menulis Teoh Nie Ching sampaikan 'tazkirah'. Apakah si penulis tidak tahu membezakan antara 'tazkirah' dengan ucapan? Atau si penulis yang beragama Islam itu  tidak pernah mendengar 'tazkirah'? Dan hanya sibuk mencari apa makna 'tazkirah' semata-mata untuk tujuan sedapkan berita? Atau tujuan politik? Hahaha...


Kali ini Teoh Nie Ching bikin gempar lagi. Bertempat di Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong, baru-baru ini telah dianjurkan Karnival Maal Hijrah. Untuk sama-sama meraikannya bersama non-Muslim, satu aktiviti senamrobik telah dilaksanakan. Diulas dalam sebuah blog picisan, ruangbicarafaisal.blogspot.com,  menyatakan ;


"Jika dulu , dia masuk ke dalam surau, sekarang dia masuk ke dalam perkarangan masjid pula dengan memakai baju ketat yang menonjolkan susuk buah dada dan bersenamrobik bersama-sama lelaki di dalam pagar masjid"


Blogger tersebut turut mempersoalkan tentang perbezaan pendekatan antara Islam yang dibawa oleh PAS Kelantan dengan PAS negeri-negeri lain. Katanya ;


Apakah islam yang diperjuangkan Pas berbeza di setiap negeri ?

Di Kelantan, kaunter bayaran di pasaraya diasingkan antara wanita dan lelaki. Tidak cukup dengan itu , tempat duduk lelaki dan wanita juga diasingkan dalam majlis-majlis rasmi. Manakala sukan pula diadakan sukan khas untuk wanita. Tidak cukup lagi dengan itu, konsert atau persembahan artis wanita pula, hanya kaum wanita sahaja yang boleh menontonnya.

Akan tetapi 'fatwa' Pas di Selangor berbeza. Lelaki dan wanita dibenarkan bersenamrobik bersama dalam kawasan masjid tanpa sebarang pengasingan.



Sebenarnya saya masih menanti ulasan ilmiah para ulama' bebas dan tak bebas seperti Dr MAZA, Dato' Harussani dan sebagainya. Sambil menunggu dan terus menunggu, saya teringat kejadian yang saya lalui beberapa minggu lepas.


Kira-kira dua minggu lepas saya telah berpeluang menunaikan solat Zohor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, atau saya lebih suka gelar Masjid Shah Alam. Ini bukan kali pertama, tapi dah entah ke barapa ratus kali. Al-maklum, saya dibesarkan di negeri maju ini, Selangor.


Melangkah masuk ke ruang solat,  hadir perasaan sangat kagum dan teruja melihat begitu ramai anak-anak daripada usia kanak-kanak sehingga remaja hadir memenuhkan saff Solat Zohor. Walaupun kehadiran mereka sebenarnya adalah mengikuti program daurah sebulan yang dianjurkan oleh pihak masjid, namun saya yakin bahawa anak-anak yang diperkenalkan untuk mencintai masjid inilah penggerak perjuangan Islam satu hari nanti. Takbir dilaungkan imam, solat dimulakan, berjemaah.


Seusai solat, saya duduk sebentar di salah satu sudut tiang masjid, sambil mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran. Tiba-tiba terlihat seorang lelaki yang saya kira bukan Melayu, berbaju tanpa lengan, berseluar paras lutut dan bertopi dengan slumbernya masuk ke ruang solat utama. Saya toleh ke ruang duduk jaga, patutlah, kosong. Lelaki itu tadi terus ke tengah ruang solat, mengambil gambar dan kemudian berbaring. Beberapa minit kemudian dengan laju seorang jaga muncul dari arah timur masjid menegur perbuatannya yang berbaring itu. Lalu lelaki itu menukar posisi baringnya kepada duduk. Abang jaga terus berlalu meninggalkan lelaki tersebut, dan saya tergamam, itu sahajakah?


Abang jaga kembali ke ruang duduknya sambil bercakap-cakap dengan seseorang di hujung talian walkie-talkienya. Saya cuba mendengarnya. Antara yang dapat didengari, mereka mempersoalkan bahawa lelaki itu Melayu atau tidak, Islam atau tidak. Satu info diperolehi, mungkin daripada pakcik jaga yang bertugas di pintu masuk masjid, lelaki itu bukan Islam dan bukan Melayu, malah orang dari negara Jepun. Dengan pantas si abang jaga merapati lelaki berkenaan dan membawanya keluar. Lelaki berbangsa Jepun itu pun menurut dan mengmbil posisi baringnya semula di ruang legar masjid. Tidak mengapa, ruang legar masjid ini juga selesa.
Si lelaki Jepun beralih untuk berehat di ruang legar masjid


Saya tidak gemar dengan apa yang berlaku. Abang jaga hanya mengusir si lelaki Jepun itu setelah mengetahui bahawa dia bukan lelaki Melayu Islam. Mengapa sedari awal tidak arahkan dia keluar daripada ruang solat sementelah pakaiannya sungguh tidak sopan dan hampir membuka aurat (seluar paras lutut bagi lelaki saya tidak pasti sama ada membuka aurat atau masih menutup aurat). Pada saya, lelaki berkenaan tidak perlu dihantar keluar atas sebab bukan Melayu dan bukan Islam, tetapi atas dua sebab:


1. Keadaan pakaiannya yang tidak sopan dan hampir membuka aurat
2. Aktivitinya di ruang solat masjid adalah aktiviti tidak beradab iaitu berbaring


Saya kira, jika orang Melayu Islam sekalipun melakukan dua kesalahan di atas, orang Melayu Islam berkenaan lebih berhak dihalau dari ruang solat masjid, walaupun dengan niat suci, memberi sumbangan derma fakir miskin.


Saya memetik fatwa daripada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang berbunyi;


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid.

Muzakarah telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab.

Walaubagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.

Keterangan/Hujah:

1. Dalam hal-hal yang berkaitan ibadah, sensitiviti umat Islam sangat tinggi dan nilai-nilai ta'abbudi amat dititikberatkan oleh masyarakat Islam.

2. Umat Islam dibenarkan melakukan ibadah sembahyang walaupun di dalam gereja kerana Saidina Umar al-Khattab pernah melakukannya. Umat Islam perlu bersikap tasamuh dan tidak terlalu rigid dalam membenarkan orang bukan Islam mendekati masjid.

3. Keindahan Islam boleh ditunjukkan kepada orang bukan Islam melalui lawatan mereka ke masjid-masjid selaras dengan peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pengurusan masjid.

4. Sikap membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid tidak boleh disamakan dengan sikap tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Kristian kerana konsepnya adalah berbeza.



Berbalik kepada isu Teoh Nie Ching yang bersenamrobik di dalam kawasan pagar masjid. Mungkin saya bersetuju bahawa pemakaiannya agak mencolok mata. Tetapi untuk menghentamnya secara terbuka di media saya kira adalah tidak sesuai. Kita perlu tunjukkan hemah dalam berdakwah. Islam perlu diperkenalkan sedikit demi sedikit. 




Walaupun begitu apa yang haram tetap haram. Sedikit demi sedikit bukan bererti membolehkan wanita Islam yang tahu hukum dan aurat mendedahkan rambut dan memperagakan sebahagian daripada tubuh badan. Pendidikan Islam diajar sejak sekolah rendah dan generasi anak muda kini sekurang-kurangnya pernah mendapat pendidikan formal sehingga tingkatan lima. Justeru adalah mustahil untuk mengatakan wanita Islam yang belum bertudung, belum dapat seru.  Walaubagaimanapun, untuk berhadapan dan berdakwah dengan seorang non-Muslim tegar seperti Teoh Nie Ching dan Teressa Kok, pendekatannya perlu berlainan. Kaedah fiqh perlu digunakan. Itupun kalau ada niat dakwahlah. Politik-politik juga...


Berkenaan tulisan Blogger ruangbicarafaisal yang mengatakan berlakunya percampuran lelaki dan perempuan, saya kira ianya tidak berlaku. Senamrobik ini dilaksanakan di atas jalan dalam kawasan masjid yang sempit. Jelas sekali ruangan bagi lelaki adalah di sebelah kiri dan ruangan bagi wanita adalah di sebelah kanan dan belakang. Percampuran tidak berlaku tetapi dengan jarak pemisahan yang kecil kerana ruang yang sempit.


Untuk membicarakan pendekatan Islam di setiap negeri, saya kira ini perlu dipulangkan kepada  kerajaan. Bukankah pengutkasaan Islam dipisahkan di setiap negeri di bawah jabatan dan majlis agama Islam negeri masing-masing? Justeru, kenapa perlu persoalkan pendekatan Islam di setiap negeri? Bukan inikah yang dimahukan?


Saya kira ini satu contoh politik dengan menggunakan isu agama dan perkauman. Apa salah sekiranya tanya dahulu kepada jawatankuasa masjid berkenaan, apa yang dah berlaku. Mungkin mereka terlebih dahulu telah memberi tazkirah kepada Teoh tentang pemakaiannya. Mungkin sahaja.... 


Wah, alimnya... kiri lelaki, kanan perempuan, depan jantan, belakang betina.
Tutup aurat pulak tu, sampai berlekuk-lekuk.... 


Cuba kita perhatikan petikan kata-kata Teoh ini seperti yang dilaporkan oleh malaysiakini.com

"Sudah banyak kali saya lihat orang bukan Islam menghadiri majlis hari raya Aidilfitri di perkarangan masjid. Jadi, apa kesalahan saya untuk menghadiri majlis-majlis yang dianjurkan di perkarangan surau ataupun masjid apabila dijemput?"


"Adakah saya salah kerana saya memang telah melanggar ajaran Islam? Ataupun sebab saya seorang ahli politik DAP?"


Justeru, janganlah kita menjadi salah seorang yang menghalang turunnya hidayah Allah SWT. Kepada Blogger ruangbicarafaisal, daripada tulisan dan komen dalam blog anda pun sudah menampakkan bagaimana akhlak anda. Semoga Allah campakkan hidayah ke hati anda.


E-man I-man


http://www.malaysiakini.com/news/152046
http://ruangbicarafaisal.blogspot.com/2010/12/ahli-parlimen-serdang-buat-hal-di.html
http://siswariyadh.blogspot.com/2010/08/muzakarah-fatwa-kebangsaan-mengenai.html

Saturday, December 18, 2010

Rakyat 1 MALAYSIA memang BODOH !!!!

Menyelak-nyelak status facebook tahun 2010 yang berjumlah 28 halaman. Mungkin tidak banyak sangat berbanding seorang sahabat yang berbangga dengan jumlah halaman statusnya menjangkau 58 halaman, lalu saya gelarkannya sebagai 'Raja Status'.. Ada juga seorang sahabat yang lebih kurang sama jumlah halamannya seperti saya tetapi berazam untuk mengurangkannya pada tahun depan, katanya mahu tumpukan pada blog.. Macam-macam... Saya? Saya tak kisah. Pada saya asal yang bermanfaat untuk saya dan semua, itu lebih bagus.


Mata terpahat pada satu status bertarikh 21 April 2010.


"menunggu lampu trafik bertukar hijau sambil berzikir kecil dalam hati.... dan lampu bertukar hijau akhirnya. menekan pedal gear, gear 1 dimasukkan. mula memulas minyak... tiba-tiba.... sebungkus makanan ringan atau lebih tepatnya sampah (tinggal bungkusan je) terkeluar daripada tingkap kereta di hadapan. di sisi lain pula puntung rokok dicampakkan keluar... tiada sivik!    RAKYAT 1 MALAYSIA MEMANG BODOH!!!!"


Terkesima seketika. Agak keras kata-kata di status ini. Bagaimanapun, bagai telah terancang, terbaca semula status ini ketika baru mengalami semula kejadian yang hampir sama.


Beberapa hari yang lepas, memandu ke Puchong Perdana. Hasrat hendak mencari kedai makan untuk berbuka puasa sunat 10 Muharram. Simpang masuk ke Puchong Perdana memang terkenal dengan kesesakan trafik. Terpaksalah beratur menunggu giliran lampu hijau untuk membelok masuk. Ketika perut berkeroncong syahdu, ketika mata semakin sayu, ketika sabar semakin menipis, dan ketika itu jugalah tiba-tiba seorang gadis berbangsa Cina barangkali membuka pintu keretanya dan mengeluarkan segugus azimat berupa kertas tisu. Aduh... Sempat saya merakamkan gambar menggunakan 'handphone' syarikat.


Mengapakah ini berlaku? Di mana letaknya kesedaran sivik kita? Apabila rakyat hilang pedoman, di mana silapnya? Adakah jari perlu dituding kepada sistem pendidikan negara?


Saya pernah mengajar di sebuah sekolah menengah di Johor, mengambil skim kumpulan guru simpanan kebangsaan. Salah satu subjek yang perlu saya ajarkan adalah Pendidikan Sivik. Secara terus terang saya tidak tahu bagaimana mahu mengajar subjek ini, terutama kepada pelajar-pelajar kelas hujung yang banyak nakalnya, kurang fahamnya. Buntu, lalu bertanya kepada guru-guru yang saya bahasakan kakak. Terkejut juga dengan jawapan mereka "entah lah dik, kami pun dah bertahun-tahun tak tahu macam mana nak ajar subjek ni?" Terfikir sejenak, bagaimana mahu menyedarkan pelajar kalau guru-guru pun ambil endah tak endah. Namun, nak salahkah guru seratus peratus pun tak boleh. Buku teks Pendidikan Sivik peringkat menengah saya kira sangat keanak-anakan. Sudah seperti buku bacaan kanak-kanak tadika. Justeru, memang patutlah guru-guru ini tidak tahu bagaimana mahu mengajar.


Saya kira rakyat 1 Malaysia belum bersedia untuk melangkah menuju negara maju, masih janggal dengan apa yang dikatakan bandar, apalagi metropolitan. Masih kekampungan, atau lebih tepat kehutanan, yang hanya layak berkawan dengan sang beruk. Cubalah ziarah ke negara jiran yang setambak, Singapura. Mak saya selalu kata, "kalau nak cari walau sekuis habuk rokok pun di Singapura, bercinta!" Bercinta di sini membawa maksud sangat susah, hampir mustahil. Tapi di seberang tambak sini.... hahaha....


Pernah tak melihat timbunan sampah di bawah papan tanda yang berbunyi lebih kurang "Dilarang membuang sampah di sini, denda RM bla bla bla...." ?.... Itulah akhlak rakyat 1 Malaysia.


Meneliti dua konsep, 1 Malaysia dan Islam Hadhari. Kadang-kadang saya terfikir lebih baik pembawakan prinsip Islam Hadhari... Wallahualam.


E-man I-man




http://www.kpkk.gov.my/pdf/Booklet_1Malaysia.pdf
http://www.scribd.com/doc/11607708/10-Prinsip-Islam-Hadhari

Friday, December 10, 2010

'SETEL' = azam tahun baru



Menerima sms daripada seorang sahabat,


"Ana ingat anta tulis yang enta dah 'setel'.... berderau darah... hehe......"


Saya tersenyum. Siapa yang tak mahu 'setel'? Siapa yang tidak mahu bahagia? Lelaki mana yang tidak mahu melengkapkan agamanya? Siapakah yang mahu menyeka ayat-ayat Allah dalam firman-Nya


"Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian (bujang) di antara kamu”. (Surah al-Nuur: 32)


“Dan orang-orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami)”. (Surah al-Furqaan: 74)


serta hadis-hadis Nabi SAW


“Nikah adalah sunnahku (jalan agamaku), maka barangsiapa yang cintakan agamaku hendaklah dia menjalankan sunahku itu”. (Riwayat Abu Ya’la dari Ibnu Abbas r.a)


“Barangsiapa yang tidak beristeri kerana takutkan kepapaan maka dia bukan dari golongan kami”. (Hadis Dho’if riwayat Abu Mansur al-Dailami dari Abu Said)


Dari Aisyah r.a. dari Rasulullah s.a.w., baginda telah bersabda: “Barangsiapa yang mempunyai keluasan rezeki hendaklah berkahwin”. (Hadis Dha’if riwayat Ibnu Majah)


Begitu juga para sahabat pernah mengungkapkan, antaranya


Saidina Umar al-Khatab r.a pernah berkata:
“Tiada yang menghalang perkhawinan itu kecuali oleh orang yang lemah dan yang membuat maksiat.” 


Saidina Abbas r.a. berkata:


“Tidak sempurna ibadat seseorang yang mengerjakan ibadat sehingga dia berkahwin.” 






Sewaktu wabak taun melanda negeri Mesir, dua orang isteri saidina Mua’z telah meninggal dunia akibat penyakit tersebut. Dan ketika beliau sendiri diserang taun, katanya 



“Kahwinkanlah aku. Aku tidak suka menemui Allah s.w.t. dalam keadaan aku bujang.“




Saidina Umar al-Khatab r.a. adalah antara sahabat yang banyak berkahwin. Katanya: 

“Aku tidak berkahwin kecuali untuk menghasilkan anak.”




Maka siapakah yang mahu mengingkari ini semua?


Ops, kepada mereka yang belum mengerti, istilah setel adalah istilah yang sering digunakan oleh kami sesama sahabat yang membawa maksud sudah berjumpa bakal isteri / suami, atau dengan kata lainnya bertunang yang kadang-kala tanpa cincin dan tanpa ibu bapa. Walaupun tanpa ibu bapa, ada perantara yang digunakan yang biasanya merupakan seorang ustaz atau ustazah, atau dari kalangan senior yang sudah berumah tangga. Proses ini digelar sebagai proses Baitul Muslim. Sepanjang proses Baitul Muslim berjalan, terdapat beberapa adab yang perlu dijaga termasuklah tidak boleh berhubungan dengan pasangan sesuka hati melainkan urusan kerja atau komitmen organisasi dan seumpamanya. Terdapat proses-proses Taaruf atau kenal pasangan dengan turut dihadiri oleh perantara. Selepas melalui Taaruf demi Taaruf, sesudah dimeterai perjanjian bila akan bersatu sebagai suami isteri, setelah keluarga kedua-dua belah pihak dimaklumi dan tiada bantahan, tatkala itulah seseorang itu boleh diberi status 'setel'.


"Bagaimana mahu memulakan proses Baitul Muslim?" - Mungkin itu yang bermain di minda semua. 


Apabila sudah hadir seru, maka seseorang itu akan terasa untuk mula mencari-cari siapakah dia yang Allah takdirkan untuk menjadi pasangan sehidup sematinya, sedunia dan seakhiratnya. Rasa itu bukan rasa untuk bercinta, tetapi rasa untuk memberi komitmen kepada dunia percintaan. Rasa itu bukan rasa untuk ber'couple', tetapi rasa untuk melangkah ke alam tanggung jawab berkeluarga. Rasa itu adalah bukan satu seruan ke arah menghampiri zina, tetapi satu seru untuk menghalalkan di sisi Allah apa yang selama ini haram. Rasa itu bukan untuk satu jangka masa singkat, tapi untuk kekal selama-lamanya.


Maka bila rasa itu tiba, proses pertama pada kebiasaanya adalah mencari seseorang untuk menjadi perantara. Lazimnya, perantara adalah orang yang sungguh-sungguh kita hormati dan tidak segan untuk berkongsi dengannya. Boleh jadi ayah, emak, abang, kakak, pakcik, dan makcik. Walaupun begitu, bagi mereka yang jauh daripada keluarga, atau yang segan dengan keluarga sendiri, pilihan perantara juga boleh terdiri daripada kalangan sahabat yang lebih tua, sudah berumah tangga dan yang paling penting bukan seorang yang fasik serta mendorong ke arah melakukan kefasikan. Boleh jadi seorang ustaz atau ustazah.


Jika rasa itu tadi hadirnya bersama dengan seseorang yang telah berkenan di hati, maka nama dan maklumat si dia bolehlah diajukan kepada perantara. Namun ada sesetengah kes yang rasa itu hadir tanpa ada siapa orangnya. Walaupun begitu bayang-bayang ciri-ciri idaman itu ada. Justeru kes sebegini juga boleh dirujuk kepada perantara. Perantara akan cuba menyatukannya dengan kenalan-kanalan yang sekufu dengan pemohon. Sepanjang proses 'matching' oleh perantara, hubungan dengan Allah perlulah dijaga. Solat malam perlu dikerapkan.


Setiba di satu peringkat apabila kedua-dua pihak bersetuju, maka proses Taaruf akan berjalan. Tentu ada yang pernah membaca novel atau menonton filem Ayat-ayat Cinta, seumpama itulah proses Taaruf. Cuma lazimnya proses Taaruf bukan sekali, malah berperingkat-peringkat, tidak semudah Ayat-ayat Cinta. Di antara peringkat demi peringkat biasanya ditetapkan tempoh dan keperluan-keperluan yang perlu dibuat seperti Solat Istikharah, dapatkan restu keluarga untuk berumah tangga, tentukan perancangan dan haluan hidup untuk 5 tahun ke hadapan, rancangkan tarikh pernikahan dan sebagainya. Sepanjang tempoh ini juga, bukan semestinya akan bersatu di hujungnya. Kadang-kadang selepas Taaruf demi Taaruf, baru dikenali hati budi yang tidak sesuai bersama dan rela melepasi antara satu sama lain. Dengan cara begini, maruah terutama seorang Muslimah akan terjaga walaupun selepas putus tunang. Si Muslimah berkenaan belum sempat untuk dipeluk-peluk, dipimpin tangan dan sebagainya. 


Kalau diperhatikan, proses Baitul Muslim ini mendidik jiwa untuk mencintai Allah dahulu sebelum mencintai pasangan kita. Alangkah indahnya Islam. Alangkah bagusnya proses Baitul Muslim. Alangkah manisnya perhubungan dan pernikahan mengikut syariat. Alangkah baiknya sekiranya semuanya berjalan lancar...


Betul, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum berkahwin. Kewangan, kematangan, panas baran  dan sebagainya. Belum bersedia? Justeru kenapa ber'couple'? Belum sedia buatlah cara belum sedia... Mungkin hadis nabi ini boleh membantu.


Barangsiapa di antara kamu yang berkemampuan mengeluarkan belanja perkahwinan, maka hendaklah dia berkahwin kerana perkara ini akan memejamkan mata dari melihat perempuan ajnabi dan akan memelihara kemaluan. Dan barangsiapa yang ketiadaan belanja perkahwinan, maka hendaklah dia berpuasa. Maka bahawasanya puasa itu melemahkan syahwat jimak. (Hadis yang disepakati oleh ali Hadis)


Sempena Maal Hijrah 1432 H dan tahun baru 2011 yang akan datang tak lama lagi, mungkin kita boleh jadikan 'setel' sebagai satu azam. 'Setel' yang bagaimana? Tepuk dada tanya iman.


Saya membalas sms sahabat tadi,


"Tunggu je pengumuman untuk menderaukan darah enta..... hahaha...."




Eman Iman




http://blog.mfadhlan.com/?tag=dalil-perkahwinan
http://chulan-chin.blog.friendster.com/tag/baitul-muslim/

Thursday, December 2, 2010

Penyakit baru - KAF SIN LAM

Bukan sengaja ingin mencipta provakasi, apa lagi mewujudkan sensasi. Cuma ini yang sering terfikir-fikir sehingga kini. Ada orang pernah berkata, hidup biar berfalsafah. Dan falsafah hidup saya terlalu banyak. Ada baiknya juga untuk saya kongsikan bersama.




Di keheningan petang sewaktu membaca lafaz-lafaz ma'thurat, sampai pada satu lembaran. 


Allaahuma ini a’uthu bika min al-hami wal-hazan, wa a’uthu bika min al-‘ajz wal kasal, wa
a’uthu bika min al-jubni wal-bukhl, wa a’uthu bika min ghalabati-ddayni wa qahri-rrijal.



Tertarik dengan satu perkataan yang dibentuk dengan tiga huruf. Perkataan itu adalah 'kasal' di dalam Bahasa Arab yang bermaksud kemalasan atau ringkasnya malas. Perkataan kasal ini dibentuk daripada tiga huruf jawi iaitu huruf KAF, SIN dan LAM.


Tiba-tiba pemikiranku jauh menerawang, teringat pada ketika zaman masih kanak-kanak di kampungku. Aku mempunyai darah campur sedikit Jawa. Abahku Melayu manakala emak berdarah campur Melayu, Jawa dan sedikit Bugis. Namun penghijrahan abah dan emak ke Tanjung Karang yang rata-rata kebanyakan penduduknya berdarah Jawa membuatkan kami tidak kekok dengan kejiranan Jawa. Salah satu budaya Jawa yang aku ingat adalah pada malam sesebuah kenduri kahwin, akan ada sekumpulan pemuzik Jawa yang memainkan alat muziknya sehingga subuh. Arwah Pak Long, iaitu suami kepada kakak emak, seorang yang berdarah Jawa halus, agak pelawak sifatnya. Arwah Mak Long ku dulu menggelarnya sebagai 'kemproh', maksudnya? tanya pada orang Jawa ya, hahaha. Arwah Pak Long selalu mengajuk bait-bait lirik kumpulan pemuzik Jawa tersebut dengan lirik rekaannya sendiri. Masih terngiang-ngiang di telingaku


"la lela lela le dong, kok nangis njalok ambong"
"la lela lela le dong, kok nangis njalok pentong"


Makna?, sekali lagi sila tanya orang Jawa ya... Harap maaf terhadap kesalahan tatabahasa Jawa, saya menulis ikut sedap sebutan mulut sahaja.


Kembali kepada cerita arwah Pak Longku, bila sudah puas mengajuk-ngajuk, akhirnya dia mangaduh sendirian, katanya "kesel"... Ya, 'kesel' membawa maksud penat. Kesel juga boleh dibentuk daripada tiga huruf di atas iaitu KAF, SIN dan LAM.


Kemudian aku kembali kepada darah jati keturunanku yang lebih kuat mengikut sebelah bapaku iaitu Melayu. Huruf jawi KAF, SIN, LAM ini boleh membentuk sebuah perkataan dalam Bahasa Melayu iaitu kesal.


Lengkap, Kasal, Kesel dan Kesal, 3 penyakit yang mampu menggagalkan sebuah gerakerja. Bagaimana? Biar saya huraikan satu persatu. 


1. KASAL = malas


Tidak perlu kepada huraian panjang lebar. Malas sememangnya sifat yang setiap hari kita minta daripada Allah untuk dijauhi sekiranya setiap hari kita baca Al-Ma'thurat. Di sini saya tidak berminat ingin membahaskan apakah Al-Ma'thurat yang disusun oleh Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna itu sunah Nabi atau tidak. Cukuplah dengan menganggapnya sebagai sebuah panduan doa-doa ma'thur yang Nabi SAW pernah amalkan walaupun tidak secara digabungkan.


2. KESEL = penat


Penat yang dimaksudkan adalah penat sehingga mengeluh kepenatan. Sifat ini jika tidak dibendung, ianya boleh merebak sehingga menyebabkan si pesakit 'kesel' ini boleh didatangi pula penyakit 'kasal'. Bila bergerak kerja dalam jemaah, penat itu biasa. Cuma ianya tidak perlu dilayan. Penat bukan lesen untuk berehat dan tidur selama seminggu. Penat bukan lesen untuk tidur selepas subuh. Penat bukan lesen untuk tidak hadir atau lewat hadir ke usrah. Penat perlu diatasi dan dihilangkan. Dalam sebuah perjalanan berjemaah, kalau penat, cari sahabat untuk saling kuat-menguati. Kalau sama-sama penat, tak mengapa duduk seketika hilangkan lelah, tapi bukan baring dan tidur lena. Duduk untuk muhasabah, apa lagi yang kurang, apa lagi yang pincang, apa lagi yang tempang. Duduk untuk terus berfikir.


3. KESAL


Kesal yang dimaksudkan di sini pula adalah kesal yang melampaui sehingga menyebabkan putus asa. Pepatah Melayu ada menyebut, 'sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya'. Namun secara logiknya, tiada sesal dahulu. Yang ada hanyalah sesal kemudian iaitu selepas sesuatu berlaku. Sesal kemudian ini ada pro dan kontranya. Kebaikannya adalah sebagai suatu muhasabah dan tidak mahu diulangi lagi. Tapi kalau setiap tindakan asyik berulang-ulang kesalahan dan sesalan yang sama, in English said useless, tiada gunanya, buang masa. Ini suatu penyakit. Kesal berulang-ulang kemudian putus asa. 


Apa yang penting bukan kesalan semata-mata. Tetapi mengkaji punca dan faktor kesilapan serta mencari jalan penyelesaian. Ruang-ruang baru dalam pemikiran perlu diwujudkan, bukannya asyik kembali kepada takuk lama. Minda perlu dicambahkan, barulah terhasil penyelesaian yang praktikal. Barulah dapat mengatasi kesalan yang tak sudah. Barulah dapat menghindari sifat putus asa.


Islam menganjurkan untuk tidak berputus asa dengan rahmat Allah. Allah berfirman





يَا بَنِيَّ اذْهَبُوا فَتَحَسَّسُوا مِنْ يُوسُفَ وَأَخِيهِ وَلَا تَيْأَسُوا مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِنَّهُ لَا يَيْأَسُ مِنْ رَوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ
  
Maksudnya; Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusof dan saudaranya, Dan janganlah kamu putus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari Rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir”. 
(Yusuf : 87)

Bahkan sehingga orang yang berdosa sekalipun tidak dibenarkan berputus asa sama sekali kerana keampunan Allah s.w.t itu sangat luas. Allah menjelaskan hal ini dalam sebuah ayat yang sungguh indah maknanya:



قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَى أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللَّهِ إِنَّ اللَّهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaku yang telah melampaui batas terhadap diri sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya dialah jua yang Maha Pengampun; lagi Maha Mengasihani”. 
(Al-Zumar : 39)



Sesungguhnya rahmat Allah itu luas. Kesal sehingga putus asa itu tidak perlu. Kalau anda merungut asyik anda sahaja yang menerima ujian yang anda sendiri tidak mampu pikul, renungkan pula ayat ini :




أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ.
  
Maksudnya; Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan: "Kami Telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? Dan Sesungguhnya kami Telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, Maka Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan Sesungguhnya dia mengetahui orang-orang yang dusta.



Justeru apa yang kita lalui adalah sebenarnya suatu ujian keimanan, sepertimana kita menduduki peperiksaan SPM yang menentukan universiti mana yang layak untuk kita duduki kelak. Begitu juga ujian keimanan ini bakal menentukan di syurga mana yang layak untuk kita duduki atau hanya layak ke neraka Allah SWT, na'uzubillahi min zalik.


Nah, terbukti bukan, penyakit baru dalam gerakerja pada 3 perkataan yang berkongsi 3 huruf jawi yg sama


KASAL : KESEL : KESAL


Erm.. panjang juga tulisan ini. Hajat untuk menulis pendek, short and simple masih belum kesampaian.


Semoga tulisan ini ada manfaatnya buat diri saya dan anda semua. Mari kita sama-sama berdoa semoga dijauhi penyakit KAF SIN LAM....




Eman Iman




http://www.peaceacademy.com/mathurat.pdf
http://www.iprom.unikl.edu.my/index.php/tazk2