Friday, November 5, 2010

Tangan Syaitan?

Menjenguk ke laman sosial facebook yang kian menjadi trend masa kini, terlihat paparan di status seorang sahabat,




"Tadi saya pergi mengisi minyak petrol RON 97, apabila menghulurkan wang untuk dibayar saya nampak seolah2 "tangan syaitan" telah mengambil duit saya dengan rakusnya...hahaha"


Terhilai gelak ketawa di pagi hari. Meneruskan lagi pembacaan komen-komen di bawahnya.

"oh ya.. tertinggal.. menurut kasyaf saya, tangan tersebut seolah2 nak menerkam dengan rakusnya.."
"pergi kat TOL pun ada jugak "tangan syaitan" dok hulur...hahaha"
"saya pun sama nampak "tangan syaitan" masa nak byr brg kat GIANT..."

Tambah kuat hilaian gelak ketawa saya. Terkekeh dibuatnya....

Apa isu sebenarnya ini? Kenapa soal 'kasyaf' menjadi bahan gurauan?

Tidak lain dan tidak bukan pastilah isu bekas calon BN, Mohd Nor Idris yang dipetik sebagai berkata 

"Apabila dia hulur tangan itu, solah-olah saya nampak tangan itu tangan syaitan... dengan kasyaf saya, tangan dia itu macam tangan syaitan yang dihulurkan kepada saya. Jadi saya tidak sambut tangan dia, saya tidak mahu jamah (pegang) tangan syaitan". (Malaysiakini)

Laporan yang tersiar dalam media alternatif Malaysiakini itu mendapat liputan meluas, cuma tiada di media arus perdana. Ianya merujuk kenyataan bekas calon BN itu mengenai Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat:

Dalam mengulas isu ini, saya sungguh tertarik dengan komentar Dr.MAZA. Dengan penuh tertib ilmiah, Dr. MAZA mengulas dan merungkaikannya satu persatu. Antara yang dibangkitkan adalah isu bagaimana ilmu kasyaf boleh diangkat sebagai hujjah. Jika hal itu dibolehkan, tentu baginda Nabi SAW terlebih dahulu melakukannya. Sebaliknya, penilaian atau hukuman tetap berteraskan bukti dan hujah. 

Persoalannya, bagaimana dengan mudah beliau boleh menggunakan ilmu kasyaf terutama dalam hal-hal politik. Terlebih lagi digunakan untuk mengaibkan pihak parti lawan. Dan lebih biadap lagi orang yang dikatakan memiliki tangan syaitan itu seorang ulamak tersohor. Benarkah 'ustaz' ini memiliki ilmu kasyaf?

Terdetik juga di hati saya, "wah, dia tahu rupa tangan syaitan, dia ni ada hubungan ke dengan syaitan?"

Berbicara tentang kasyaf, saya bukanlah pakarnya. Namun apa yang saya tahu ianya terkandung dalam perbasan usul 20 Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna.

Menurut Asy-Syahid, sebahagian dari kesan iman yang benar dan ibadat yang sah ialah Allah akan mencampakkan ilham dan lintasan-lintasan ke dalam hati mukmin, Ilham dan lintasan hati yang menyuluh jalan mukmin; menolongnya dalam mencari kebenaran dan menyelesaikan kemusykilan. Kassyaf juga adalah sebahagian kesan dari iman yang benar. Kassyaf yang dimaksudkan di sini ialah: Allah membukakan tabir yang melindungi sebahagian dari perkara-perkara yang tersembunyi dan perkara-perkara yang tidak tersembunyi dan perkara-perkara ghaib. Termasuk juga dalam pengertian kassyaf ialah mengetahui bisikan hati, niat dan kelemahan setengah manusia.

Al-Imam Asy-Syahid menerangkan bahwasanya ilham, lintasan hati, kasyaf dan mimpi merupakan perkara-perkara yang thabit yang tidak boleh ditolak secara
keseluruhannya. Meskipun demikian, ianya bukanlah tergolong dari dalil-dalil hukum yang tersendiri kerana di sana berlaku kesangsian dan sangkaan-sangkaan banyak bercampur dengannya. Oleh itu, ianya tidak boleh dipegang.

Sekiranya dikatakan: Apa faedah kewujudannya? Dijawab: Diterima, sekiranya tidak bertentangan dengan Al-Qur'an dan As-sunnah dan menguatkan kesahihan yang merupakan cahaya di atas cahaya. Hakikat ini telah dinyatakan oleh Al-Imam Asy-syahid yang mana ianya bertepatan dengan Al-Qur'an dan sunnah Rasul-Nya serta ditegaskan oleh ulamak.

Di antara peristiwa-peristiwa thabit dan masyhur:

Dari Umar r.a, bahawasanya seorang lelaki datang kepadanya lalu Saidina 'Uthman berkata: "Salah seorang daripada kamu datang kepadaku sedangkan tanda-tanda perzinaan berada di matanya" (zina mata). Lelaki itu bertanya: "Apakah wahyu masih datang selepas kewafatan Rasulullah?" Saidina 'Uthman menjawab: "Tidak, tetapi ia merupakan firasat yang benar". 
(At-Turuq al-Hukmiyyah: 41)

Kisah Umar yang berkhutbah di atas mimbar dan memutuskan khutbahnya lalu berkata; "Wahai sariyyah (sepasukan tentera) ke bukit, ke bukit." 
(Sirah dan Manaqib Umar: 172, 173.)

Meskipun ulamak mengesahkan adanya kasyaf dan mimpi, mereka telah menetapkan kemestian merujuk segala perkara yang berkaitan dengannya kepada Al-Qur'an dan Assunnah kerana kedua-duanya terpelihara. Kasyaf, mimpi dan sebagainya merupakan perkara-perkara zanni (sangkaan) yang belum lagi terjamin ketepatannya.

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah pernah berkata:
"Kebanyakan dari sangkaan seseorang bahawa beliau telah mendapat kasyaf merupakan sangkaan semata-mata. Sesungguhnya prasangka itu tidak sedikitpun berguna untuk mencapai kebenaran. Ahli kasyaf kadang-kadang benar dan kadang-kadang salah. Oleh itu wajib bagi mereka berpegang dengan KitabulLah dan Sunnah RasulNya. Serta mengimbangi pandangan, pendapat dan buah fikiran mereka bersandarkan Al-Qur'an dan Sunnah. Sekiranya seseorang itu membawa sesuatu perkara dari Allah dan perkara itu tidak perlu dipadukan dengan Al-Qur'an dan As-Sunnah bermakna seseorang itu tidak perlu pada Rasul dalam sesetengah urusan agamanya. Ini merupakan pendapat orang-orang yang sesat." 
(Al Fatawa: 11/65, 66.)

Justeru, kasyafkah ustaz? Wallahualam...

Apa yang pasti, isu ini akan terus menjadi permainan dan bahan sindiran.

"Eh, ada tanganlah....
Ooops, tangan siapa tu? Tangan syaitan kah?"



E-man I-man




No comments:

Post a Comment