Friday, December 31, 2010

"Adakah saya salah kerana saya seorang ahli politik DAP?"

Petang ini merupakan petang terakhir di tahun 2010. Tenang. Sedar tak sedar, lagi sepuluh tahun negara akan melangkah ke tahun 2020, suatu wawasan negara maju yang dibina di zaman Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.


Saya sedang leka membaca halaman media alternatif elektronik. Paling saya gemar adalah malaysiakini.com yang saya kira antara media alternatif yang telus. Seronok dan berbangga membacaya kejayaan skuad Harimau Malaya memenangi Piala AFF Suzuki. Tiba-tiba, "hah, timbul lagi isu ini" hati saya berkata perlahan. 


Pakaian beginikah dikatakan tidak sopan bagi seorang non-muslim?
Atau tudung selempang 'merah'kah yang paling sopan?
Teoh Nie Ching, pada saya tidak perlu diperkenalkan lagi. Pernah menggemparkan seluruh Malaysia pada Ramadhan yang lepas dengan kes masuk ke ruang hadapan surau dalam keadaan tidak sopan serta memberi 'tazkirah'. Tak dapat tertahan, saya tergelak kecil. Begitu dangkalnya pemikiran penulis berita yang menulis Teoh Nie Ching sampaikan 'tazkirah'. Apakah si penulis tidak tahu membezakan antara 'tazkirah' dengan ucapan? Atau si penulis yang beragama Islam itu  tidak pernah mendengar 'tazkirah'? Dan hanya sibuk mencari apa makna 'tazkirah' semata-mata untuk tujuan sedapkan berita? Atau tujuan politik? Hahaha...


Kali ini Teoh Nie Ching bikin gempar lagi. Bertempat di Masjid Taman Cheras Jaya, Balakong, baru-baru ini telah dianjurkan Karnival Maal Hijrah. Untuk sama-sama meraikannya bersama non-Muslim, satu aktiviti senamrobik telah dilaksanakan. Diulas dalam sebuah blog picisan, ruangbicarafaisal.blogspot.com,  menyatakan ;


"Jika dulu , dia masuk ke dalam surau, sekarang dia masuk ke dalam perkarangan masjid pula dengan memakai baju ketat yang menonjolkan susuk buah dada dan bersenamrobik bersama-sama lelaki di dalam pagar masjid"


Blogger tersebut turut mempersoalkan tentang perbezaan pendekatan antara Islam yang dibawa oleh PAS Kelantan dengan PAS negeri-negeri lain. Katanya ;


Apakah islam yang diperjuangkan Pas berbeza di setiap negeri ?

Di Kelantan, kaunter bayaran di pasaraya diasingkan antara wanita dan lelaki. Tidak cukup dengan itu , tempat duduk lelaki dan wanita juga diasingkan dalam majlis-majlis rasmi. Manakala sukan pula diadakan sukan khas untuk wanita. Tidak cukup lagi dengan itu, konsert atau persembahan artis wanita pula, hanya kaum wanita sahaja yang boleh menontonnya.

Akan tetapi 'fatwa' Pas di Selangor berbeza. Lelaki dan wanita dibenarkan bersenamrobik bersama dalam kawasan masjid tanpa sebarang pengasingan.



Sebenarnya saya masih menanti ulasan ilmiah para ulama' bebas dan tak bebas seperti Dr MAZA, Dato' Harussani dan sebagainya. Sambil menunggu dan terus menunggu, saya teringat kejadian yang saya lalui beberapa minggu lepas.


Kira-kira dua minggu lepas saya telah berpeluang menunaikan solat Zohor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, atau saya lebih suka gelar Masjid Shah Alam. Ini bukan kali pertama, tapi dah entah ke barapa ratus kali. Al-maklum, saya dibesarkan di negeri maju ini, Selangor.


Melangkah masuk ke ruang solat,  hadir perasaan sangat kagum dan teruja melihat begitu ramai anak-anak daripada usia kanak-kanak sehingga remaja hadir memenuhkan saff Solat Zohor. Walaupun kehadiran mereka sebenarnya adalah mengikuti program daurah sebulan yang dianjurkan oleh pihak masjid, namun saya yakin bahawa anak-anak yang diperkenalkan untuk mencintai masjid inilah penggerak perjuangan Islam satu hari nanti. Takbir dilaungkan imam, solat dimulakan, berjemaah.


Seusai solat, saya duduk sebentar di salah satu sudut tiang masjid, sambil mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran. Tiba-tiba terlihat seorang lelaki yang saya kira bukan Melayu, berbaju tanpa lengan, berseluar paras lutut dan bertopi dengan slumbernya masuk ke ruang solat utama. Saya toleh ke ruang duduk jaga, patutlah, kosong. Lelaki itu tadi terus ke tengah ruang solat, mengambil gambar dan kemudian berbaring. Beberapa minit kemudian dengan laju seorang jaga muncul dari arah timur masjid menegur perbuatannya yang berbaring itu. Lalu lelaki itu menukar posisi baringnya kepada duduk. Abang jaga terus berlalu meninggalkan lelaki tersebut, dan saya tergamam, itu sahajakah?


Abang jaga kembali ke ruang duduknya sambil bercakap-cakap dengan seseorang di hujung talian walkie-talkienya. Saya cuba mendengarnya. Antara yang dapat didengari, mereka mempersoalkan bahawa lelaki itu Melayu atau tidak, Islam atau tidak. Satu info diperolehi, mungkin daripada pakcik jaga yang bertugas di pintu masuk masjid, lelaki itu bukan Islam dan bukan Melayu, malah orang dari negara Jepun. Dengan pantas si abang jaga merapati lelaki berkenaan dan membawanya keluar. Lelaki berbangsa Jepun itu pun menurut dan mengmbil posisi baringnya semula di ruang legar masjid. Tidak mengapa, ruang legar masjid ini juga selesa.
Si lelaki Jepun beralih untuk berehat di ruang legar masjid


Saya tidak gemar dengan apa yang berlaku. Abang jaga hanya mengusir si lelaki Jepun itu setelah mengetahui bahawa dia bukan lelaki Melayu Islam. Mengapa sedari awal tidak arahkan dia keluar daripada ruang solat sementelah pakaiannya sungguh tidak sopan dan hampir membuka aurat (seluar paras lutut bagi lelaki saya tidak pasti sama ada membuka aurat atau masih menutup aurat). Pada saya, lelaki berkenaan tidak perlu dihantar keluar atas sebab bukan Melayu dan bukan Islam, tetapi atas dua sebab:


1. Keadaan pakaiannya yang tidak sopan dan hampir membuka aurat
2. Aktivitinya di ruang solat masjid adalah aktiviti tidak beradab iaitu berbaring


Saya kira, jika orang Melayu Islam sekalipun melakukan dua kesalahan di atas, orang Melayu Islam berkenaan lebih berhak dihalau dari ruang solat masjid, walaupun dengan niat suci, memberi sumbangan derma fakir miskin.


Saya memetik fatwa daripada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan yang berbunyi;


Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid.

Muzakarah telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab.

Walaubagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.

Keterangan/Hujah:

1. Dalam hal-hal yang berkaitan ibadah, sensitiviti umat Islam sangat tinggi dan nilai-nilai ta'abbudi amat dititikberatkan oleh masyarakat Islam.

2. Umat Islam dibenarkan melakukan ibadah sembahyang walaupun di dalam gereja kerana Saidina Umar al-Khattab pernah melakukannya. Umat Islam perlu bersikap tasamuh dan tidak terlalu rigid dalam membenarkan orang bukan Islam mendekati masjid.

3. Keindahan Islam boleh ditunjukkan kepada orang bukan Islam melalui lawatan mereka ke masjid-masjid selaras dengan peraturan dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh pengurusan masjid.

4. Sikap membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid tidak boleh disamakan dengan sikap tidak membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh Kristian kerana konsepnya adalah berbeza.



Berbalik kepada isu Teoh Nie Ching yang bersenamrobik di dalam kawasan pagar masjid. Mungkin saya bersetuju bahawa pemakaiannya agak mencolok mata. Tetapi untuk menghentamnya secara terbuka di media saya kira adalah tidak sesuai. Kita perlu tunjukkan hemah dalam berdakwah. Islam perlu diperkenalkan sedikit demi sedikit. 




Walaupun begitu apa yang haram tetap haram. Sedikit demi sedikit bukan bererti membolehkan wanita Islam yang tahu hukum dan aurat mendedahkan rambut dan memperagakan sebahagian daripada tubuh badan. Pendidikan Islam diajar sejak sekolah rendah dan generasi anak muda kini sekurang-kurangnya pernah mendapat pendidikan formal sehingga tingkatan lima. Justeru adalah mustahil untuk mengatakan wanita Islam yang belum bertudung, belum dapat seru.  Walaubagaimanapun, untuk berhadapan dan berdakwah dengan seorang non-Muslim tegar seperti Teoh Nie Ching dan Teressa Kok, pendekatannya perlu berlainan. Kaedah fiqh perlu digunakan. Itupun kalau ada niat dakwahlah. Politik-politik juga...


Berkenaan tulisan Blogger ruangbicarafaisal yang mengatakan berlakunya percampuran lelaki dan perempuan, saya kira ianya tidak berlaku. Senamrobik ini dilaksanakan di atas jalan dalam kawasan masjid yang sempit. Jelas sekali ruangan bagi lelaki adalah di sebelah kiri dan ruangan bagi wanita adalah di sebelah kanan dan belakang. Percampuran tidak berlaku tetapi dengan jarak pemisahan yang kecil kerana ruang yang sempit.


Untuk membicarakan pendekatan Islam di setiap negeri, saya kira ini perlu dipulangkan kepada  kerajaan. Bukankah pengutkasaan Islam dipisahkan di setiap negeri di bawah jabatan dan majlis agama Islam negeri masing-masing? Justeru, kenapa perlu persoalkan pendekatan Islam di setiap negeri? Bukan inikah yang dimahukan?


Saya kira ini satu contoh politik dengan menggunakan isu agama dan perkauman. Apa salah sekiranya tanya dahulu kepada jawatankuasa masjid berkenaan, apa yang dah berlaku. Mungkin mereka terlebih dahulu telah memberi tazkirah kepada Teoh tentang pemakaiannya. Mungkin sahaja.... 


Wah, alimnya... kiri lelaki, kanan perempuan, depan jantan, belakang betina.
Tutup aurat pulak tu, sampai berlekuk-lekuk.... 


Cuba kita perhatikan petikan kata-kata Teoh ini seperti yang dilaporkan oleh malaysiakini.com

"Sudah banyak kali saya lihat orang bukan Islam menghadiri majlis hari raya Aidilfitri di perkarangan masjid. Jadi, apa kesalahan saya untuk menghadiri majlis-majlis yang dianjurkan di perkarangan surau ataupun masjid apabila dijemput?"


"Adakah saya salah kerana saya memang telah melanggar ajaran Islam? Ataupun sebab saya seorang ahli politik DAP?"


Justeru, janganlah kita menjadi salah seorang yang menghalang turunnya hidayah Allah SWT. Kepada Blogger ruangbicarafaisal, daripada tulisan dan komen dalam blog anda pun sudah menampakkan bagaimana akhlak anda. Semoga Allah campakkan hidayah ke hati anda.


E-man I-man


http://www.malaysiakini.com/news/152046
http://ruangbicarafaisal.blogspot.com/2010/12/ahli-parlimen-serdang-buat-hal-di.html
http://siswariyadh.blogspot.com/2010/08/muzakarah-fatwa-kebangsaan-mengenai.html

No comments:

Post a Comment