Friday, December 10, 2010

'SETEL' = azam tahun baru



Menerima sms daripada seorang sahabat,


"Ana ingat anta tulis yang enta dah 'setel'.... berderau darah... hehe......"


Saya tersenyum. Siapa yang tak mahu 'setel'? Siapa yang tidak mahu bahagia? Lelaki mana yang tidak mahu melengkapkan agamanya? Siapakah yang mahu menyeka ayat-ayat Allah dalam firman-Nya


"Dan kahwinkanlah orang-orang yang sendirian (bujang) di antara kamu”. (Surah al-Nuur: 32)


“Dan orang-orang yang berkata: “Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami)”. (Surah al-Furqaan: 74)


serta hadis-hadis Nabi SAW


“Nikah adalah sunnahku (jalan agamaku), maka barangsiapa yang cintakan agamaku hendaklah dia menjalankan sunahku itu”. (Riwayat Abu Ya’la dari Ibnu Abbas r.a)


“Barangsiapa yang tidak beristeri kerana takutkan kepapaan maka dia bukan dari golongan kami”. (Hadis Dho’if riwayat Abu Mansur al-Dailami dari Abu Said)


Dari Aisyah r.a. dari Rasulullah s.a.w., baginda telah bersabda: “Barangsiapa yang mempunyai keluasan rezeki hendaklah berkahwin”. (Hadis Dha’if riwayat Ibnu Majah)


Begitu juga para sahabat pernah mengungkapkan, antaranya


Saidina Umar al-Khatab r.a pernah berkata:
“Tiada yang menghalang perkhawinan itu kecuali oleh orang yang lemah dan yang membuat maksiat.” 


Saidina Abbas r.a. berkata:


“Tidak sempurna ibadat seseorang yang mengerjakan ibadat sehingga dia berkahwin.” 






Sewaktu wabak taun melanda negeri Mesir, dua orang isteri saidina Mua’z telah meninggal dunia akibat penyakit tersebut. Dan ketika beliau sendiri diserang taun, katanya 



“Kahwinkanlah aku. Aku tidak suka menemui Allah s.w.t. dalam keadaan aku bujang.“




Saidina Umar al-Khatab r.a. adalah antara sahabat yang banyak berkahwin. Katanya: 

“Aku tidak berkahwin kecuali untuk menghasilkan anak.”




Maka siapakah yang mahu mengingkari ini semua?


Ops, kepada mereka yang belum mengerti, istilah setel adalah istilah yang sering digunakan oleh kami sesama sahabat yang membawa maksud sudah berjumpa bakal isteri / suami, atau dengan kata lainnya bertunang yang kadang-kala tanpa cincin dan tanpa ibu bapa. Walaupun tanpa ibu bapa, ada perantara yang digunakan yang biasanya merupakan seorang ustaz atau ustazah, atau dari kalangan senior yang sudah berumah tangga. Proses ini digelar sebagai proses Baitul Muslim. Sepanjang proses Baitul Muslim berjalan, terdapat beberapa adab yang perlu dijaga termasuklah tidak boleh berhubungan dengan pasangan sesuka hati melainkan urusan kerja atau komitmen organisasi dan seumpamanya. Terdapat proses-proses Taaruf atau kenal pasangan dengan turut dihadiri oleh perantara. Selepas melalui Taaruf demi Taaruf, sesudah dimeterai perjanjian bila akan bersatu sebagai suami isteri, setelah keluarga kedua-dua belah pihak dimaklumi dan tiada bantahan, tatkala itulah seseorang itu boleh diberi status 'setel'.


"Bagaimana mahu memulakan proses Baitul Muslim?" - Mungkin itu yang bermain di minda semua. 


Apabila sudah hadir seru, maka seseorang itu akan terasa untuk mula mencari-cari siapakah dia yang Allah takdirkan untuk menjadi pasangan sehidup sematinya, sedunia dan seakhiratnya. Rasa itu bukan rasa untuk bercinta, tetapi rasa untuk memberi komitmen kepada dunia percintaan. Rasa itu bukan rasa untuk ber'couple', tetapi rasa untuk melangkah ke alam tanggung jawab berkeluarga. Rasa itu adalah bukan satu seruan ke arah menghampiri zina, tetapi satu seru untuk menghalalkan di sisi Allah apa yang selama ini haram. Rasa itu bukan untuk satu jangka masa singkat, tapi untuk kekal selama-lamanya.


Maka bila rasa itu tiba, proses pertama pada kebiasaanya adalah mencari seseorang untuk menjadi perantara. Lazimnya, perantara adalah orang yang sungguh-sungguh kita hormati dan tidak segan untuk berkongsi dengannya. Boleh jadi ayah, emak, abang, kakak, pakcik, dan makcik. Walaupun begitu, bagi mereka yang jauh daripada keluarga, atau yang segan dengan keluarga sendiri, pilihan perantara juga boleh terdiri daripada kalangan sahabat yang lebih tua, sudah berumah tangga dan yang paling penting bukan seorang yang fasik serta mendorong ke arah melakukan kefasikan. Boleh jadi seorang ustaz atau ustazah.


Jika rasa itu tadi hadirnya bersama dengan seseorang yang telah berkenan di hati, maka nama dan maklumat si dia bolehlah diajukan kepada perantara. Namun ada sesetengah kes yang rasa itu hadir tanpa ada siapa orangnya. Walaupun begitu bayang-bayang ciri-ciri idaman itu ada. Justeru kes sebegini juga boleh dirujuk kepada perantara. Perantara akan cuba menyatukannya dengan kenalan-kanalan yang sekufu dengan pemohon. Sepanjang proses 'matching' oleh perantara, hubungan dengan Allah perlulah dijaga. Solat malam perlu dikerapkan.


Setiba di satu peringkat apabila kedua-dua pihak bersetuju, maka proses Taaruf akan berjalan. Tentu ada yang pernah membaca novel atau menonton filem Ayat-ayat Cinta, seumpama itulah proses Taaruf. Cuma lazimnya proses Taaruf bukan sekali, malah berperingkat-peringkat, tidak semudah Ayat-ayat Cinta. Di antara peringkat demi peringkat biasanya ditetapkan tempoh dan keperluan-keperluan yang perlu dibuat seperti Solat Istikharah, dapatkan restu keluarga untuk berumah tangga, tentukan perancangan dan haluan hidup untuk 5 tahun ke hadapan, rancangkan tarikh pernikahan dan sebagainya. Sepanjang tempoh ini juga, bukan semestinya akan bersatu di hujungnya. Kadang-kadang selepas Taaruf demi Taaruf, baru dikenali hati budi yang tidak sesuai bersama dan rela melepasi antara satu sama lain. Dengan cara begini, maruah terutama seorang Muslimah akan terjaga walaupun selepas putus tunang. Si Muslimah berkenaan belum sempat untuk dipeluk-peluk, dipimpin tangan dan sebagainya. 


Kalau diperhatikan, proses Baitul Muslim ini mendidik jiwa untuk mencintai Allah dahulu sebelum mencintai pasangan kita. Alangkah indahnya Islam. Alangkah bagusnya proses Baitul Muslim. Alangkah manisnya perhubungan dan pernikahan mengikut syariat. Alangkah baiknya sekiranya semuanya berjalan lancar...


Betul, banyak perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum berkahwin. Kewangan, kematangan, panas baran  dan sebagainya. Belum bersedia? Justeru kenapa ber'couple'? Belum sedia buatlah cara belum sedia... Mungkin hadis nabi ini boleh membantu.


Barangsiapa di antara kamu yang berkemampuan mengeluarkan belanja perkahwinan, maka hendaklah dia berkahwin kerana perkara ini akan memejamkan mata dari melihat perempuan ajnabi dan akan memelihara kemaluan. Dan barangsiapa yang ketiadaan belanja perkahwinan, maka hendaklah dia berpuasa. Maka bahawasanya puasa itu melemahkan syahwat jimak. (Hadis yang disepakati oleh ali Hadis)


Sempena Maal Hijrah 1432 H dan tahun baru 2011 yang akan datang tak lama lagi, mungkin kita boleh jadikan 'setel' sebagai satu azam. 'Setel' yang bagaimana? Tepuk dada tanya iman.


Saya membalas sms sahabat tadi,


"Tunggu je pengumuman untuk menderaukan darah enta..... hahaha...."




Eman Iman




http://blog.mfadhlan.com/?tag=dalil-perkahwinan
http://chulan-chin.blog.friendster.com/tag/baitul-muslim/

3 comments: